Tuesday, November 29, 2011

5 Bukti Si DIA cintakan Kita kerana Allah SWT !





Pepatah arab ada menyebut semua orang mengaku kekasih Laila tetapi Laila sendiri tidak mengakuinya. Ramai orang kerap kali terjatuh dalam perangkap cinta dan terpalit dengan noda dan fitnahnya apabila Si Dia, baik lelaki mahupun perempuan mengungkapkan kata-kata hikmat yang berbunyi “Aku cintakan diri-Mu kerana Allah !”

Aduh ! Perkataan yang indah tetapi kerap disalah guna.

Jika kaca yang dipegang maka akan pecah kerana jatuh terhempas, jika kita sedang berdiri akan segera ingin mencari tempat duduk dan jika kita tengah duduk akan segera mahu berdiri dan mencari udara segar guna memaksa oksigen masuk ke dalam tubuh kerana sesak dan berat di dada sehingga menyukarkan pernafasan.



Jantung berdegub laju dan tangan menjadi sejuk.
Itulah tanda-tanda awal virus cinta sudah mula berjangkit dan sedang menular ke dalam badan dan hanya akan dapat dilegakan dengan berdekatan dengan orang yang dicintai.
Lalu apa yang harus dilakukan ? Pasrah dan menerima cinta kerana ianya adalah kerana Allah seperti yang diucapkan atau berhenti dahulu dan meneliti ucapan tersebut benarkah ia cinta dari Allah atau merupakan salah satu dari jerangkap samar syaitan ?

Firman Allah SWT : Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah (kebenarannya) dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” (Al-Hujurat: 6)

Dalam Islam, kita disuruh memeriksa dan menilai apakah benar setiap sesuatu ucapan atau khabar yang disampaikan sebelum mengambil tindakan atau membuat keputusan. Hal ini disebut sebagai konsep “tabayun” atau bermaksud mencari penjelasan atau keterangan.

Hal ini amatlah penting agar kita tidak ditipu atau terjebak dengan perangkap Iblis yang sedang menanti di hujung jalan untuk memancing kita ke dalam neraka bersama-sama dengannya. Sebelum membuat keputusan apakah akan diserahkan tubuh badan, hati dan perasaan maka lebih baiklah dilakukan usaha memeriksa dan menyemak terlebih dahulu benarkah kalimah itu diucapkan iaitu:
Aku cinta kepada Mu kerana Allah SWT !

Cinta kerana Allah SWT itu mempunyai satu kedudukan yang istimewa kerana di dalam hadis Abu Hurairah ra menyebut katanya Rasulullah salallahualaihiwassalam bersabda :Sesungguhnya Allah Ta’ala berfirman pada hari kiamat: “Manakah orang-orang yang saling cinta-mencintai kerana keagunganKu? Pada hari ini mereka akan Aku beri naungan pada hari yang tiada naungan melainkan naunganKu.”(Riwayat Muslim)

Di dalam sebuah hadis yang lain, nabi salallahualaihiwassalam juga pernah bersabda : “Jika seseorang dari kamu mencintai saudaranya maka hendaklah dia memberitahunya.” (riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan Ahmad serta Bukhari di dalam tarikhnya dengan makna yang sepertinya)
Kita juga disunnahkan untuk membalas ucapan cinta itu dengan doa yang berbunyi :

أحبك الله الذي أحببتني فيه
Maksudnya : “Semoga Allah mencintai kamu yang telah mencintaiku keranaNya.” (riwayat Abu Daud)

Hadis-hadis berkenaan cinta ini begitu banyak sebab Islam ialah agama yang menitik-beratkan persoalan kasih sayang dan kehormonian sesama Insan. Namun kita masih perlu menilai dan meneliti apakah cinta yang dihulurkan itu benar-benar madu dan rezeki daripada Allah SWT atau sebenarnya ialah racun dan umpan dari syaitan.

Bukti Cinta kerana Allah

Ada 5 bukti penting dan tanda utama yang dapat dikenal pada seseorang yang benar-benar mencintai kita kerana Allah SWT. Ini dapat dilihat dari hasil taddabur kita kepada ayat-ayat Al-Quran dan melalui penilaian kepada hadis-hadis nabawiyah.



1. DIA adalah seorang yang amat mencintai Allah

Adalah mustahil seseorang itu berkata dia mencintai kita kerana Allah SWT tetapi dalam masa yang sama dia amat jauh dari jalan Allah dan seringkali melakukan dosa dan maksiat kepada Allah SWT.
Cinta itu dibuktikan dengan perbuatan maka lelaki dan wanita yang mengatakan kepada anda bahawa dia mencintai kerana Allah juga akan membenci kerana Allah SWT dan membenci segala apa yang dimurkai oleh Allah SWT dari segala jenis dosa dan maksiat.

Nabi salallahualaihiwassalam bersabda : “Tiga perkara yang jika terdapat pada seseorang maka dia pasti akan merasai kemanisan Iman. Iaitu Dia mencintai Allah dan rasul-Nya lebih dari selainnya. Dia mencintai atau membenci sesuatu hanya kerana Allah dan dia amat membenci untuk kembali kepada kekufuran seperti dia tidak suka dicampakkan ke dalam api.” (hadis riwayat Bukhari)

Lihatlah pada diri lelaki yang mencintai anda kerana Allah itu apakah dia seorang yang teguh agamanya, kukuh aqidahnya, penyabar, kuat tawakkal, selalu mencintai anak yatim dan membela yang lemah atau dia sebenarnya seorang yang hanya pandai berborak sahaja.

Lelaki yang soleh pasti akan kelihatan di masjid dan ketika ada orang yang berada dalam kesusahan maka disitulah dia akan dapat ditemukan.

Perkara yang sama terjadi kepada kepada lelaki yang benar-benar mahu mengenali para wanita muslimah solehah itu. Ianya tidak hanya dengan sekadar ucapan di bibir atau pada teks sms dan copy paste di blog dan Fb si gadis.

Lihatlah auratnya apakah ditutup, lihatlah peribadinya apakah terpelihara dan dijaga kemudian lihatlah pemikirannya apakah dia seorang Muslimah yang hidup untuk dirinya atau dia hidup untuk Allah SWT.
Caranya tidak susah. Mana-mana muslimah yang hidup untuk Allah akan sanggup menerima poligami dan menghormati hak-hak lelaki yang Allah berikan kepada mereka . Si DIA akan tunduk serta patuh kepada hukum Allah dan lebih banyak bertolak ansur serta berusaha memahaminya dari berusaha mempertikaikannya.

Jangan terleka dan tergoda oleh rupa dan pakaian kerana syaitan itu amat bijak dengan tipudaya dan jalan-jalan kesesatan.


2. Cinta kerana Allah terbit dari sebab ketaatan

Pasti ada sebab si DIA cintakan kita kerana Allah dan apakah sebab-sebab itu adalah terhasil dari kerana ketaatan kita kepada Allah SWT atau kerana kemaksiatan kita kepada-Nya ?
Jika cinta yang diungkapkan itu adalah kerana ketaatan kita kepada Allah SWt maka ianya adalah jenis dari bahagian cinta-cinta yang suci dan datang atas kerana rahmat daripada Allah SWT kepada hamba-hambaNya.
Ada wanita jatuh cinta kerana si lelaki itu kuat berdakwah dan menjadi Imam sukarela secara percuma. Ada lelaki terjatuh hati kerana melihat si wanita itu tegas dan teguh mempertahankan maruah dan auratnya dari dicabuli. Maka jenis-jenis cinta seperti itu memenuhi kehendak cinta yang dilakukan kerana Allah SWT.
Tanyakan SI DIA kerana apakah kamu mencintai saya ?

Jika jawapannya memenuhi jenis cinta yang berdasar dari ketaatan kepada Allah SWT maka ianya adalah dari Allah dan jika ianya berdasarkan dari sebab-sebab kejahatan dan kemaksiatan maka ianya dari syaitan.
Ini dapat diketahui dengan mudah jika kita sendiri menyedari akan kesalahan yang telah kita lakukan. Misalnya jika wanita itu tidak menjaga auratnya, tidak memelihara dirinya dari fitnah seperti tampil di khalayak ramai dalam rancangan TV menjadi wanita pilihan dengan bertabarruj dan “berposing kiri dan kanan” memaparkan kecantikan maka jika datang lelaki menghulurkan cinta kerana tertarik dan jatuh hati atas kecantikan itu maka ianya bukanlah dari ketaatan bahkan kemaksiatan dan berpunca dari kedegilan kita dalam mentaati syariat Allah SWT.

Wanita yang solehah tidak akan mendedahkan kecantikannya seperti lelaki yang bertaqwa tidak akan murah menampilkan kebaikan dirinya atau menunjuk-nunjuk kewarakan dan kesolehannya.
Tanyalah diri anda, apakah dosa atau ketaatan yang telah dilakukan sehingga melayakkan diri ini menerima ungkapan AKU CINTA DIRMU KERANA ALLAH !


3. Mencintainya kembali menambah kebaikan dan kemuliaan serta mendekatkan kita kepada Allah

Orang-orang yang benar dalam cintaNya kepada Allah mereka ini mempunyai kelebihan dan merupakan orang-orang yang benar-benar beriman. Mencintai mereka itu nescaya akan memberikan kebaikan dan menambahkan kemuliaan serta menambahkan kedekatan kita dengan tuhan.

Ini disebabkan di dalam sebuah hadis dari jalan Abu Hurairah ra yang menyebutkan bahawa Nabi Salallahualaihiwassalam pernah bersabda :

 “Jikalau Allah Ta’ala itu mencintai seseorang hamba, maka Dia pun memanggil Jibril lalu memberitahu bahawa Allah mencintai si Fulan, maka cintailah olehmu (Wahai Jibril) si Fulan itu. Jibril pun lalu mencintainya, kemudian Jibril menyeru kepada seluruh penghuni langit seraya memberitahu bahawa Allah mencintai si Fulan, maka cintailah olehmu semua (Wahai penghuni-penghuni langit) si Fulan itu. Maka para penghuni langit pun kemudian mencintainya. Setelah itu dijadikan seluruh penghuni bumi pun ikut menerimanya (mencintainya).” (hadis Muttafaq alaih)

Lihat dan perhatikanlah apakah di wajah orang yang mengatakan Aku cinta pada-Mu kerana Allah itu membuatkan anda teringat kepada ajaran Islam, kepatuhan kepada Allah SWT, kedahsyatan hari akhirat serta dosa dan pahala atau sebaliknya hanya mengundang kepada ingatan nafsu syahwat dan pelukan serta dakapan di atas tilam.

Cinta yang suci tidak akan mampu dibakar oleh api sebaliknya ia hanya akan memadamkan api demikianlah cinta yang sejati tidak akan datang kerana syahwat tetapi ianya pasti akan mampu memenuhi keperluannya.


4. Cinta dan hubungan dengan Si DIA jauh dan terpelihara dari kelalaian dan dosa

Diantara ciri-ciri yang mustahak di dalam penilaian kebaikan seseorang ialah ianya tidak mengundang bahaya atau kemudharatan. Daripada Abu Said Al-Khudri ra bahawa rasulullah SAW pernah bersabda : “Tidak boleh melakukan kemudharatan dan tidak pula boleh mengundang kemudharatan (melalui perbuatan yang dilakukan).” (hadis riwayat Daruquthni, Al-Hakim dan Baihaqi)

Ini kerana tipu daya dan muslihat syaitan itu amat licik. Terkadang dia sengaja memalsukan kejahatan itu agar dilihat sebagai kebaikan atau kemuliaan.

Syaitan itu sendiri tahu untuk mengoda orang yang soleh itu tidak harus dengan maksiat dan kejahatan tetapi digoda dengan kebaikan dan kezuhudan agar si soleh itu menjadi sesat kerana riya’ atau ujub (kagum)dan ghurur (tertipu) dengan dirinya sendiri.

Mujahid bin Abi Mu'ammar meriwayatkan bahawa suatu hari pernah ada seseorang yang memuji seorang pemimpin. Kemudian Miqdad ibnul-Aswad pun menaburkan tanah ke mukanya, lalu berkata:"Rasulullah memerintahkan kami untuk menaburkan tanah kemuka orang yang suka memuji." (riwayat Muslim)
Imam Ibn Jauzi al-baghdadi dalam kitabnya Talbis Al-Iblis ada menyebutkan mengenai cara Iblis membelit ahli ibadah dan menjadikan mereka jauh daripada Allah melalui menampakkan kebaikan dan kelebihan diri mereka sehingga menjadi ujub dan kagum atau ibadah mereka lalu menjadi lalai kepada Allah dalam keadaan mereka menyangka bahawa mereka itu sedang beribadah.

Sabda rasulullah salallahualaihiwassalam : "Kamu tidak akan selamat hanya oleh amalanmu sahaja." (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Apabila anda berhadapan dengan lelaki atau wanita yang mengucapkan kata-kata cinta yang suci menggunakan nama Allah SWT maka lihatlah apakah ianya membawa fitnah dan kelalaian atau memberikan manfaat kebaikan dan menjauhkan diri dari dosa.

Ramai orang terkena belitan syaitan apabila terpedaya kononnya bercinta kerana Allah SWT namun apabila sudah ber“couple” dan bercinta semua larangan Allah dilanggarnya.
Bertudung labuh dan berkopiah tetapi berdua-duaan ditempat yang tidak diredhai Allah kerana cinta dan perasaan akhirnya syariat Allah menjadi gadaian.

Ada orang yang baik, lelaki muslim dan wanita yang muslimah pada asalnya mahu bercinta kerana Allah tetapi dipertengahan jalan mereka ditipu oleh syaitan. Akhirnya kerana sudah pun terlanjur berpegangan tangan, bercium dan melakukan maksiat ringan masing-masing berpendapat kita sudah tiada jalan kembali kecuali terus terjebak dalam hubungan haram ini.

Allah itu maha pengasih dan pengampun, setiap kali terlanjur dan tersilap dalam perjalanan maka segeralah lakukan U-TURN sementara nyawa masih dikandung badan. Pintu taubat sentiasa terbuka dan segeralah rayu dan memohon keampunan daripada-Nya.

Janganlah terpedaya oleh syaitan yang sentiasa merayu peluang kedua dari manusia agar sekali lagi melakukan dosa. Sekali lagi sahaja, Cuma sekali lagi katanya yang merayu supaya terus melakukan dosa lalu terperangkap di dalamnya.


5. SI DIA tidak mengharapkan balasan kecuali dari Allah

Cinta yang suci itu ialah cinta yang hanya tahu memberi tetapi tidak mengharapkan apa-apa sebagai balasan. Mereka ini seperti yang disebutkan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran yang bermaksud : 

Sesungguhnya kami memberi makanan kepadamu hanyalah untuk mengharapkan keredhaan Allah, kami tidak menghendaki balasan dari kamu dan tidak pula (ucapan) terima kasih.” (Al-Insan : 9)

Jika benar si DIA mencintai Mu kerana Allah maka bergembiralah kerana kalian benar-benar mahukan syurga dan tidak kisah dengan siapa berakhirnya hubungan ini. Apakah dia menjadi milikmu atau kamu menjadi miliknya hal itu bukanlah isunya tetapi apakah Si DIA dan kamu masing-masing beroleh kasih sayang dan keampunan dari Yang Maha Esa.

Sabda nabi salallahualaihiwassalam : “ Barangsiapa yang mencintai kerana Allah dan membenci kerana Allah serta memberi kerana Allah atau menghalang kerana Allah maka telah sempurnalah Imannya.” (hadis riwayat Abu Daud dan disahihkan oleh Syeikh Albani)

Lelaki dan wanita yang saling mencintai kerana Allah SWT lebih takutkan Allah dan lebih mencintai Allah dari diri mereka sendiri dan secara pastinya mereka mencintai satu sama lain hanya semata-mata kerana hubungan masing-masing dengan Allah SWT.

Lelaki yang beriman dan benar-benar mengasihi seorang gadis kerana Allah akan sentiasa mahu wanita itu terpelihara dari dosa dan mahukan kebaikan serta rahmat Allah SWT ke atasnya.
Jika dia mahu mengahwini gadis itu maka hasratnya itu adalah kerana mahu melindunginya, mahu mengasihi dan memanfaatkannya di jalan Allah SWT. Adapun jika ada lelaki lain yang terlebih dahulu hadir dalam kehidupan wanita itu maka dia akan sentiasa mendoakannya dan mengharapkan kebaikan di antara kedua-duanya.

Hatinya Ikhlas dan hanya mengharapkan balasan dari Allah SWT.
Nabi Salallahualaihiwassalam bersabda :“Doa seorang muslim kepada saudaranya di belakang pengetahuan saudaranya pasti dimakbulkan. Di atas kepalanya akan ada malaikat yang menjaganya dan setiap kali dia berdoa untuk kebaikan kepada saudaranya itu maka malaikat pun ikut berkata “Amin” dan mendoakan supaya baginya juga mendapat serupa apa yang telah didoakan kepada saudaranya.” (riwayat Muslim)
Inilah sifat orang yang beriman dan menjadikan Allah sebagai matlamat dan tujuan. Mereka tidaklah menjadikan cinta kepada wanita, lelaki, teman dan kekasih mereka itu sebagai sekutu atau saingan dan tandingan kepada Allah SWT bahkan sebaliknya ia menjadi baja dan air yang menyuburkan keimanan mereka serta sokongan kepada ketaqwaan mereka.

Firman Allah yang bermaksud : “Dan (aku telah diperintah): "Hadapkanlah mukamu kepada agama dengan tulus dan ikhlas dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang musyrik.” (Yunus : 105)
Mereka inilah yang termasuk dalam hadis nabi yang bermaksud : “ Manusia yang paling bahagia di hari akhirat dengan syafaatku kelak ialah yang berkata “Lailahaillallah” Ikhlas daripada hati dan dirinya.” (hadis sahih riwayat Bukhari)

Syaitan tidak mampu menggoda mereka bahkan oleh wanita yang paling cantik jelita atau oleh lelaki yang paling kacak dan tampan sekalipun. Takala dikatakan oleh Syaitan tidak takutkan kamu jika jarang bertemu atau bersms dengan kekasihmu itu nanti dia akan mencari atau dipikat oleh lelaki lain ?

Orang ini akan berkata : “Alhamdulillah, daripada Allah kita datang dan kepada Allah-lah kita akan kembali. Jika benar begitu maka saya akan mempermudahkan urusannya, membantunya agar dapat menikahi gadis yang ku sayangi ini jika benar lelaki yang lain itu adalah yang terbaik untuknya.”

Sesungguhnya saya mencintainya hanya kerana ALLAH !


Renung2kan & selamat beramal

peringatan buat saya jugak=)

Nasihat saidina ali karramallahu wajhah








Saidina Ali R.A. Menasihatkan Dua Kepada Kita



Nasihat Untukku Dan Untukmu Sahabat


Wahai sahabatku, Ali bin Abi Talib pernah berkata dalam perihal ukhuwah:


"Pergaulilah manusia dengan pergaulan yang apabila kamu meninggal dunia mereka menangisimu dan jika kamu hidup mereka menyayangimu."


Insan kesayangan Rasulullah SAW telah menasihati kita dengan lemah lembut dalam hubungan persaudaraan. Apakah kita mahu insan-insan di sekeliling kita menangisi kita bila kita pergi kelak? Apakah kita mahu disayangi dan dicintai sewaktu kita hidup? Apakah semua itu boleh berlaku sahabatku tercinta? Berbuatlah baik kepada mereka jika engkau mahu mereka berbuat baik padamu.


 Maka, marilah kita mengauli mereka dengan penuh cinta dan sayang.

Berlembutlah dalam bicaramu walaupun dirimu dalam kemarahan.

Hadapilah ketakburan mereka dengan tenang.

Bersabarlah ketika mereka dalam kemarahan atau tidak bersependapat denganmu.


Maafkan mereka jika mereka tersilap.


Sambungkan ikatan ketika mereka putuskan.


Berilah sesuatu kepada mereka dengan ikhlas tanpa mengharap balasan dan jangan kau mengharap apa yang di tangan mereka.


Jangan kau susahkan mereka, maka berusaha dengan tenagamu.


Bantuilah mereka jika mereka kesusahan.


Jadilah engkau seorang yang jujur dan menepati janji.


Gembiralah jika mereka gembira walaupun dirimu dilanda duka dan menangislah bersama mereka jika mereka menangis. 


Ketika mereka berduka, dekati mereka dan berdirilah di belakang mereka. 


Hiburkanlah hati mereka dengan senyumanmu.


Bahawa Ali Karramallahu Wajhah juga menasihati kita dengan nasihat ini:


"Orang yang paling lemah ialah orang yang tidak berhasil mendapatkan saudara (teman). Orang yang paling lemah lagi ialah orang yang kehilangan teman-teman ."



Ketahuilah ya sahabat bahawa persaudaraan dan kesatuan adalah satu kekuatan dan kemenangan.


Orang yang lemah ialah orang yang hidup bersendiri, tidak ada kawan dan sahabat, tidak ada kekasih dan tiada kerabat. Itulah kelemahan yang sebenar, iaitu orang yang tidak sanggup mendapatkan kawan dan sahabat.

Wahai saudaraku, orang yang paling lemah ialah orang yang kehilangan teman-teman dan sahabat-sahabat, orang yang  bercerai-berai ukhuwahnya, orang yang menukar kesatuan dengan perpecahan.

Alangkah indah hidup ini jika dihiasi dengan sahabat-sahabat yang baik. Mereka memberi keamanan dan kesejahteraan. Mereka menghulurkan bantuan ketika kau memerlukan. Mereka menjadi teman berkongsi masalahmu dan pendapatmu. Hidup mereka di sekelilingmu ibarat bintang-bintang yang menghiasi langit di waktu malam, yang memberi ketenangan buat sang pemerhati.

Wahai sahabat yang kukasihi, kawan-kawan yang baik menjadi penolong dan tempat bersandar bagimu. Mereka senantiasa bersamamu ketika senang mahupun susah.

Hidup ini penuh dengan kegembiraan dan kesedihan, maka teman-teman yang baik dan saudara-saudara yang bertakwa dan baik akan menjadi tonggak bagi seseorang. Ketika dirimu dalam kesusahan, mereka turut menanggung bebanmu dan membantumu. Ketika engkau ditimpa penyakit mereka mengubatimu. Ketika engkau diancam musuh mereka akan bertindak sebagai perisaimu dengan membela dan menjaga kamu. Ketika kamu memperoleh kegembiraan mereka turut berkongsi kegembiraan itu. Kegembiraan dan kebahagianmu adalah kegembiraan bagi mereka. Begitu juga kesedihanmu menjadi kedukaan buat mererka.

Kawan yang baik lagi ikhlas adalah sebahagian daripadamu. Kebaikanmu adalah kebaikannya, peningkatanmu adalah peningkatannya, kegembiraanmu adalah kegembiraannya, kemulianmu adalah kemulianya jua dan kesedihan serta lukanya kamu adalah kesedihan dan luka padanya. Jika engkau bergembira dia turut ceria, jika engkau menangis dia turut menangis, jika engkau sakit dia bersengkang mata menjagamu dan jika engkau ditimpa musibah yang buruk dia tidak dapat tidur lena.


Oleh itu sahabatku kasih, berusaha mencari teman yang baik dan lapangkan dadamu kepadanya. Senyumlah dan bermanis mukalah di depan mereka supaya mereka merasa selesa. Bantulah mereka sedaya upayamu, jangan dihampakan harapan mereka. Jika engkau berilmu, tolonglah mereka dengan ilmumu. Nasihatilah mereka dan bimbinglah mereka menuju ke arah kesejahteraan dan kemenangan.


Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:

"Sebilangan manusia yang dinaungi Allah di bawah naungan-Nya pada hari kiamat iaitu hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain daripada naungan Allah; di antaranya ialah dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah ."


Wednesday, November 23, 2011

cerita yang menarik



Saya tertarik dengan cerita ini..



Tersebutlah kisah, seorang “lelaki A” datang berjumpa dengan seorang perempuan. Perempuan  ini adalah yang paling ‘hot’ di kampusnya, kerana memiliki rupa paras yang cantik dan menawan. Sifat pada perempuan ni yang paling orang suka adalah kerana dia ni seksi dan berada. Tapi sayang, dia bukan muslim.

Nak dipendekkan cerita, kita lihat dialog yang berlaku antara lelaki A dan perempuan tersebut. Tapi sebelum tu, biar aku bagi tau korang ciri-ciri lelaki A tu. Lelaki A merupakan anak seorang Dato’ yang sememangnya kaya, kacak dan bergaya. Nak pergi kampus pun pakai kereta mewah, kemudian ada driver pula. Awek mana tengok mesti melopong biji mata.
Alice: Apasal awak datang nak jumpa saya?
Lelaki A: Saya dah jatuh cinta kat awak.
Alice: (memandang lelaki itu dengan sinis) Sebab?
Lelaki A: Kerana awak cantik. Sesiapa yang memandang awak sekilas pasti tak puas. Sudikah awak jadi girlfriend saya?
Alice: Tapi...
Lelaki A: Jangan risau Alice. Saya ada segala-galanya. Harta... Kebahagiaan dan apa je awak minta, saya boleh bagi.
Alice: Maafkan saya, saya ada kuliah. (perempuan itu sengaja membuat dalih)
Seminggu kemudian, perempuan ‘hot’ ni didatangi seorang lelaki lagi, kita namakan lelaki ni “lelaki B”. Penampilan lelaki B ni agak islamik. Pakai baju Melayu siap bersongkok pula tu. Tapi, hati dia hanya tuhan sahaja yang tahu. Apa-apa pun, kenalah bersangka baik.
Alice: Ha, ada apa erk?
Lelaki B: Assalamualaikum. (ucap lelaki tu lembut)
Alice: (Agak terkedu seketika) Waalaikumsalam. Kenapa awak datang nak jumpa saya?
Lelaki B: Saya… Saya…
Alice: Kenapa? Cakaplah...
Lelaki B: Saya jatuh cinta kat awak...
Alice: Sebab?
Lelaki B: Perlukah bersebab?
Alice: Ya. Sebab saya tak pernah kenal awak, tau2 awak dah jatuh cinta...
Lelaki B: Baiklah, saya cintakan awak kerana Allah telah ciptakan perasaan cinta dalam hati saya untuk awak.
Alice: Owh. (Perempuan itu melihat jam tangannya) Maaflah, saya ada study group. Lain kali kita borak lagi.
Maka tertinggallah lelaki B keseorangan tanpa sebarang jawapan dari sang gadis itu. Seminggu yang seterusnya, perempuan itu didatangi oleh seorang lagi lelaki iaitu “lelaki C”. Kali ini, lelaki C berpenampilan biasa dan sederhana saja. Wajahnya juga tidaklah sekacak mana namun ada sesuatu pada wajah itu. Entahlah apa. Perempuan itu mengukir senyuman manis untuk lelaki itu kerana dia pasti bahawa lelaki ini pasti akan bercakap benda yang sama.
Alice: Saya tau kenapa awak datang nak jumpa saya...
Lelaki C: (Termangu seketika) Awak dah tau?
Alice: Why not? Awak cintakan saya?
Lelaki C: Ya, saya menyintai awak.
Alice: (Tersenyum sinis) Well, kenapa pulak? Sebab Allah telah menghadirkan perasaan cinta kat dalam hati awak untuk saya?
Lelaki C: (Hanya mampu tunduk)
Alice: Kenapa diam? Atau.. Awak jatuh cinta di sebabkan rupa saya... Atau saya ni seksi... Atau... Saya ni anak orang berada.
Lelaki C: Demi Allah, semua itu tak betul. (Lelaki C berubah menjadi tegas).Ya, memang benar saya jatuh cinta kat awak tetapi bukan kerana Allah atau kerana kecantikan awak, harta awak. Saya jatuh cinta disebabkan Syaitan Durjana. Syaitan yang mendorong saya untuk mengejar awak. Ke mana saja awak jalan, mata saya akan mengekori awak. Tatkala rambut ikal awak terbang ditiup angin, saya rasa perasaan saya kacau.Wajah cantik awak sentiasa datang bermain di jiwa saya pada hal saya tak menginginkannya. Saya rasa rimas dengan perasaan saya. Saya semakin hanyut. Semakin terleka.
Alice: (Terkedu) Apa awak nak?
Lelaki C: Saya tak mahukan apa-apa. Mungkin hanya sekelumit simpati. Hanya kalau awak sudi. Maafkan saya, saya mohon untuk berlalu.
Alice: Nanti dulu, siapa nama awak? Macam mana saya nak tolong awak?
Lelaki C: Nama saya, ah, tak layak saya nak beritahunya kat awak. Sesungguhnya nama yang saya pinjam ini sungguh mulia. Saya pasti awak tau apa nak dibuat. Maafkan saya, saya tak sanggup nak berlama-lama di sini. Syaitan itu sentiasa membisikkan perkara yang jahat ke telinga manusia. Salamu’alaikum.
Alice hanya melihat langkah lelaki itu tanpa sepatah kata.


Dua tahun kemudian…
Akif merehatkan dirinya di pelantar rumah sambil menghirup udara segar pagi. Tiba-tiba dia disapa oleh ibunya.
Ibu: Akif, ibu teringin nak tengok Akif berumah tangga. Akif tak de ke pilihan hati Akif sendiri?
Akif: Entahlah ibu. Susah kita nak mencari pasangan yang betul2 berdiri di atas landasan yang teguh.
Ibu: Akif, ibu faham. Memang susah nak cari orang yang seperti itu, kalau ada pun, nisbahnya kecil. Manusia makin hanyut ditelan arus dunia. Semakin moden, semakin lupa tanggungjawab kita sebagai muslim. Tapi Akif, kita juga boleh menjadi pengubah.
Akif: Ibu... Akif faham. Insya Allah ibu, Akif akan cari seorang perempuan... Jika dia tak seperti yang Akif harapkan, Akif yang akan membentuk dia, mengubah dia. Akif akan cuba laksanakan permintaan ibu.
Ibu: (Tersenyum) Akif, ibu rasa, ibu sudah berkenan dengan seorang gadis ini. Dia baik dan manis juga orangnya. Pekerjaannya juga mulia. dia bekerja sebagai seorang guru di sekolah menengah agama. Ibu dah berbual-bual dengan ibu bapanya. Baik sungguh mereka itu.
Akif: Siapa dia ibu? siapa nama dia?
Ibu: Nur Alissa Zakiyyah…
Seminggu sebelum hari pertunangan. Waktu itu, Akif berada di rumah Nur Alissa Zakiyyah. Baru kali pertama Akif ke sana. Rumah yang dijejakinya ini sungguh besar dan luas. Halamannya juga menarik bersama landskap yang begitu teratur. Bunga-bungaannya memukau mata. Suasana agak hingar-bingar. Ibu Akif berada di dalam rumah mungkin sedang sibuk membantu mereka yang lain menyiapkan juadah makan tengah hari bersama.

Akif berjalan menuju ke suatu sudut di halaman itu namun langkahnya terhenti apabila terlihat seorang gadis bertudung hijau lembut sambil mengenakan pakaian baju kurung..entahlah baju kurung jenis apa yang penting ianya gubahan moden seiring mengikut zaman. Gadis itu seperti pernah dilihatnya di dalam sekeping gambar. Gambar yang diberi ibunya. Mungkinkah itu bakal tunangnya? Akif memberanikan diri untuk menyapa gadis itu.
Akif: Assalamu’alaikum.
Alissa: Wa’alaikumsalam. (Alissa tersenyum lantas membelakangi Akif)
Akif: Awakkah Nur Alissa Zakiyyah?
Alissa: Dan awak pula Akif Rahmankan? (Soal Alissa tanpa menjawab pertanyaan Akif terlebih dahulu)
Akif: Ya. Akif Rahman Bin Razaq. Awak belum jawab soalan saya...
Alissa: Hum... Akhirnya…
Akif: (Akif hairan) Kenapa? Pernahkah kita bertemu atau berkenal?
Alissa: Ya.
Akif: Siapakah awak? (tanya Akif penuh kehairanan)
Alissa: Nama saya Nur Alissa Zakiyyah binti Aziz. Sayalah Alice.
Akif: (Terkesima) Subhanallah. Awak dah berubah, saya langsung tak cam awak. Macam mana awak boleh jadi macam ni?
Alissa: Bukankah awak yang meminta sekelumit simpati dari saya?
Akif: Alice… (Terharu...)
Alissa: Akif, saya dah jatuh cinta kat awak. Dah lama...
Akif: Sebab?
Alissa: Saya mencintai awak kerana agama yang ada pada awak…
Akif hanya tersenyum.. :)
——–THE END——–

Monday, November 21, 2011

Adakah ini satu fakta atau auta??




  • Seorang lelaki suka study last minutes sebab dia cepat faham apa yang dia baca/belajar tetapi selepas itu akan lupa. Perempuan pula lambat faham apa yang dia belajar tetapi akan sentiasa ingat apa yang dia belajar. Kalau tak percaya cuba tanya lelaki apa yang dia belajar masa semester lepas.
  •  Seorang lelaki tidak suka ingat perkara-perkara yang tidak penting bagi dia. Contohnya, hari ulangtahun perkahwinan ke? Hari jadi ke? Manakala, bagi perempuan perkara macam tulah penting bagi dia.
  • Seorang lelaki dari fizikal nampak kuat tapi hakikat sebenarnya tak kuat mana pun. Bagi dia kalau deman ke? Sakit ke? Lebih rela tanggung sakit tu dari pergi ke klinik. Cuba korang bayangkan kalau lelaki yang beranak. Mesti hospital tu haru-biru..Huhuhu~. Kalau perempuan pula nampak je tak kuat tapi semangat dia kuat.. Kenapa tak percaya ke???=)
  • Orang lelaki kalau shopping sekejap je. Dia akan beli apa yang dia hendak lepas tu balik. Kalau orang perempuan dia akan tawaf satu shopping complex tu. Lepas tu server2x harga barang and then,  baru dia beli. Tak pun hari ini dia server2x barang. Esoknya baru beli. Kadang-kala sampai terlupa nak makan pun ada.
  • Bagi kebanyakkan lelaki menganggap cinta itu nafsu manakala bagi perempuan menganggap cinta itu tulus dan suci.
  • Bagi lelaki dia bercinta berdasarkan pengalaman dan tanya kawan-kawan tetapi perempuan dia bercinta melalui pembacaan.
  • Orang lelaki kadang-kala tidak faham dengan kelakuan orang perempuan dan begitulah sebaliknya.
  • Orang lelaki bila putus cinta akan mudah mencari pengganti tetapi bagi seorang wanita apabila putus cinta sukar untuk dia mencari pengganti kerana bagi dia ex-boysfrenz/ex-husband adalah cinta sejati dia.
  • Orang lelaki suka mengorat dan orang perempuan suka di ngorat.
  • Orang lelaki mengimpikan isteri seperti Fatimah az-zahra dan seorang perempuan mengimpikan suami seperti Ali Abu Talib.
  •  Orang lelaki mengatakan sesuatu berdasarkan rasional manakala orang perempuan mengatakan sesuatu mengikut emosi sebab tu talak diberi pada lelaki. Kalau perempuan hari-hari cerai.
  • Orang lelaki kurang idea tetapi pandai berkata-kata tetapi bagi perempuan mempunyai idea dan pandangan yang banyak dan meluas tetapi kurang pandai berkata-kata.
  • Orang lelaki merupakan orang yang hebat apabila dapat mengawal sifat egonya manakala orang perempuan merupakan orang yang cantik apabila ada sifat malunya.
  •  Orang perempuan jika diajar akan menjadi lebih hebat daripada lelaki. Hal ini disebabkan mereka lebih tumpukan satu akal. Manakala lelaki lebih tumpukan satu nafsu.
  • Orang lelaki tidak suka perempuan yang kuat membebel dan orang perempuan tidak suka lelaki yang panas baran.
  • Orang lelaki bila belajar lebih suka mendengar daripada membaca manakala perempuan lebih suka membaca daripada mendengar.
  •  Orang lelaki lebih suka menunjukkan kekuatan fizikalnya manakala seorang perempuan akan mengunakan tubuh dan kecantikkannya.
  •  Orang lelaki akan lemah dengan perempuan yang cantik manakala orang perempuan akan lemah dengan lelaki yang dicintainya.
  • Orang lelaki tidak suka dipaksa manakala orang perempuan suka memaksa.
  • Orang lelaki kebanyakkannya lambat matang manakala orang perempuan kebanyakkan cepat matang.
  • Orang lelaki tidak boleh menjadi househusband sebaik orang perempuan (housewife). Tetapi orang perempuan jika mencari rezeki (bekerja) adalah lebih baik daripada orang lelaki.
  • Orang lelaki lepas habis kerja akan duduk rehat sambil baca suratkhabar. Orang perempuan pula lepas habis kerja kena kemas rumah, jaga anak, masak untuk makan malam dan banyaklah lagi~.
  • Kejayaan seorang lelaki terletak pada kebijaksanaan seorang perempuan (isterinya).



Lelaki dan perempuan memang berbeza tetapi jika disatukan (kahwin) akan saling lengkap-melengkapi.....::: Macam magnet + & -  =)

Renung2kan n selamat beramal


“ Jangan kita bermimpikan lelaki sehebat saidina Ali andaikata  kita tidak semulia saiditina Fatimah Al-Zahra."

Peringatan buat diri saya jugak =)


Thursday, November 17, 2011

Just tengok dan nilai



Isu Malaysia- Indonesia sudah lama berlaku..Apa kata tengok dan nilai sendiri video mengenai kedua-dua negara ini. siapa yang betul dan siapa yang salah =)






Sumber: http://aku-macjay.blogspot.com




Renung2kan dan selamat beramal


Kadang-kala kebenaran itu amat menyakitkan

Monday, November 14, 2011

Adakah kita mengetahui?






Untuk peringatan pada diri yang sering alpa dengan keindahan dunia yang hanya palsu belaka. Sedarlah bahawa bumi sentiasa berkata-kata dengan manusia namun masih ramai lagi manusia yang lalai dan leka.



Berkata Anas Bin Malik r.a;

Sesungguhnya setiap hari bumi menyeru kepada manusia dengan sepuluh perkara.





1. Wahai anak Adam! Berjalanlah di atas perutku, tetapi ingatlah! Engkau akan dimasukkan ke dalamnya kelak.

2. Engkau melakukan maksiat di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan diazab di dalam perutku.

3. Engkau ketawa di atas perutku, tetapi ingatlah! Engkau akan menangis di dalam perutku.

4. Engkau bergembira di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan kecewa di dalam perutku.

5. Engkau mengumpul harta di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan menyesal di dalam perutku.

6. Engkau makan benda yang haram di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan dimakan oleh ulat di dalam perutku.

7. Engkau angkuh di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan dihina di dalam perutku.

8. Engkau berlari dengan riang di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan jatuh di dalam perutku dalam keadaan dukacita.

9. Engkau hidup di dunia bersiramkan cahaya matahari, bulan dan bintang di belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan tinggal dalam kegelapan di dalam perutku.

10. Engkau hidup di atas belakangku beramai-ramai, tetapi ingatlah! Engkau akan keseorangan di dalam perutku. 




Sumber: http://koleksi-ilmiah.blogspot.com



commentbox

Powered by ShoutJax

Sekadar Renungan

Sesungguhnya pada kejadian langit & bumi pada pertukaran malam & siang ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan & keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. Iaitu bagi orang-orang yang mengingati semasa mereka berdiri & duduk & semasa mereka berbaring mengiring. Mereka memikirkan kejadian langit & bumi sambil berkata " Wahai tuhan kami! Tidakkah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia. Maha suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka. Wahai Tuhan Kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya & orang-orang yang zalim itu tidak akan beroleh penolong pun. Wahai Tuhan Kami! Sesungguhnya kami telah mendengar segala penyeru (rasul) yang menyeru kepada iman. Katanya Berimanlah kamu pada tuhan kmu maka kami pun beriman. Wahai Tuhan Kami! ampunkanlah dosa-dosa kami & hapuskanlah daripada kami kesalahan kami & matikanlah kami bersama-sama orang-orang yang berbakti. Wahai Tuhan Kami! Berikanlah kepada kami pahala yang Engkau janjikan kepada kami melalui rasul-rasulMu & janganlah Engkau hina kami pada akhirat nanti. Sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji". (Surah Ali-Imran ayat 190-194).
 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Macys Printable Coupons