Tuesday, November 29, 2011

Nasihat saidina ali karramallahu wajhah








Saidina Ali R.A. Menasihatkan Dua Kepada Kita



Nasihat Untukku Dan Untukmu Sahabat


Wahai sahabatku, Ali bin Abi Talib pernah berkata dalam perihal ukhuwah:


"Pergaulilah manusia dengan pergaulan yang apabila kamu meninggal dunia mereka menangisimu dan jika kamu hidup mereka menyayangimu."


Insan kesayangan Rasulullah SAW telah menasihati kita dengan lemah lembut dalam hubungan persaudaraan. Apakah kita mahu insan-insan di sekeliling kita menangisi kita bila kita pergi kelak? Apakah kita mahu disayangi dan dicintai sewaktu kita hidup? Apakah semua itu boleh berlaku sahabatku tercinta? Berbuatlah baik kepada mereka jika engkau mahu mereka berbuat baik padamu.


 Maka, marilah kita mengauli mereka dengan penuh cinta dan sayang.

Berlembutlah dalam bicaramu walaupun dirimu dalam kemarahan.

Hadapilah ketakburan mereka dengan tenang.

Bersabarlah ketika mereka dalam kemarahan atau tidak bersependapat denganmu.


Maafkan mereka jika mereka tersilap.


Sambungkan ikatan ketika mereka putuskan.


Berilah sesuatu kepada mereka dengan ikhlas tanpa mengharap balasan dan jangan kau mengharap apa yang di tangan mereka.


Jangan kau susahkan mereka, maka berusaha dengan tenagamu.


Bantuilah mereka jika mereka kesusahan.


Jadilah engkau seorang yang jujur dan menepati janji.


Gembiralah jika mereka gembira walaupun dirimu dilanda duka dan menangislah bersama mereka jika mereka menangis. 


Ketika mereka berduka, dekati mereka dan berdirilah di belakang mereka. 


Hiburkanlah hati mereka dengan senyumanmu.


Bahawa Ali Karramallahu Wajhah juga menasihati kita dengan nasihat ini:


"Orang yang paling lemah ialah orang yang tidak berhasil mendapatkan saudara (teman). Orang yang paling lemah lagi ialah orang yang kehilangan teman-teman ."



Ketahuilah ya sahabat bahawa persaudaraan dan kesatuan adalah satu kekuatan dan kemenangan.


Orang yang lemah ialah orang yang hidup bersendiri, tidak ada kawan dan sahabat, tidak ada kekasih dan tiada kerabat. Itulah kelemahan yang sebenar, iaitu orang yang tidak sanggup mendapatkan kawan dan sahabat.

Wahai saudaraku, orang yang paling lemah ialah orang yang kehilangan teman-teman dan sahabat-sahabat, orang yang  bercerai-berai ukhuwahnya, orang yang menukar kesatuan dengan perpecahan.

Alangkah indah hidup ini jika dihiasi dengan sahabat-sahabat yang baik. Mereka memberi keamanan dan kesejahteraan. Mereka menghulurkan bantuan ketika kau memerlukan. Mereka menjadi teman berkongsi masalahmu dan pendapatmu. Hidup mereka di sekelilingmu ibarat bintang-bintang yang menghiasi langit di waktu malam, yang memberi ketenangan buat sang pemerhati.

Wahai sahabat yang kukasihi, kawan-kawan yang baik menjadi penolong dan tempat bersandar bagimu. Mereka senantiasa bersamamu ketika senang mahupun susah.

Hidup ini penuh dengan kegembiraan dan kesedihan, maka teman-teman yang baik dan saudara-saudara yang bertakwa dan baik akan menjadi tonggak bagi seseorang. Ketika dirimu dalam kesusahan, mereka turut menanggung bebanmu dan membantumu. Ketika engkau ditimpa penyakit mereka mengubatimu. Ketika engkau diancam musuh mereka akan bertindak sebagai perisaimu dengan membela dan menjaga kamu. Ketika kamu memperoleh kegembiraan mereka turut berkongsi kegembiraan itu. Kegembiraan dan kebahagianmu adalah kegembiraan bagi mereka. Begitu juga kesedihanmu menjadi kedukaan buat mererka.

Kawan yang baik lagi ikhlas adalah sebahagian daripadamu. Kebaikanmu adalah kebaikannya, peningkatanmu adalah peningkatannya, kegembiraanmu adalah kegembiraannya, kemulianmu adalah kemulianya jua dan kesedihan serta lukanya kamu adalah kesedihan dan luka padanya. Jika engkau bergembira dia turut ceria, jika engkau menangis dia turut menangis, jika engkau sakit dia bersengkang mata menjagamu dan jika engkau ditimpa musibah yang buruk dia tidak dapat tidur lena.


Oleh itu sahabatku kasih, berusaha mencari teman yang baik dan lapangkan dadamu kepadanya. Senyumlah dan bermanis mukalah di depan mereka supaya mereka merasa selesa. Bantulah mereka sedaya upayamu, jangan dihampakan harapan mereka. Jika engkau berilmu, tolonglah mereka dengan ilmumu. Nasihatilah mereka dan bimbinglah mereka menuju ke arah kesejahteraan dan kemenangan.


Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:

"Sebilangan manusia yang dinaungi Allah di bawah naungan-Nya pada hari kiamat iaitu hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain daripada naungan Allah; di antaranya ialah dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah ."


commentbox

Powered by ShoutJax

Sekadar Renungan

Sesungguhnya pada kejadian langit & bumi pada pertukaran malam & siang ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan & keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. Iaitu bagi orang-orang yang mengingati semasa mereka berdiri & duduk & semasa mereka berbaring mengiring. Mereka memikirkan kejadian langit & bumi sambil berkata " Wahai tuhan kami! Tidakkah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia. Maha suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka. Wahai Tuhan Kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya & orang-orang yang zalim itu tidak akan beroleh penolong pun. Wahai Tuhan Kami! Sesungguhnya kami telah mendengar segala penyeru (rasul) yang menyeru kepada iman. Katanya Berimanlah kamu pada tuhan kmu maka kami pun beriman. Wahai Tuhan Kami! ampunkanlah dosa-dosa kami & hapuskanlah daripada kami kesalahan kami & matikanlah kami bersama-sama orang-orang yang berbakti. Wahai Tuhan Kami! Berikanlah kepada kami pahala yang Engkau janjikan kepada kami melalui rasul-rasulMu & janganlah Engkau hina kami pada akhirat nanti. Sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji". (Surah Ali-Imran ayat 190-194).
 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Macys Printable Coupons