Wednesday, October 5, 2011

Kisah benar: Dialog Muhammad mukhtar dengan seorang paderi di Kaherah



Ya Allah, jadikan kami pembela agamamu daripada fitnah, amin.

Kisah ini dipetik daripada kitab tulisan Abdul Muta’al as-Sa’idy berkenaan dialog Islam-Kristian. 

Kitab itu mengisahkan dialog antara Paderi Z (bukan nama sebenar) yang datang ke Kaherah bagi menyebarkan agama Kristian dengan Muhammad Mukhtar, seorang remaja Muslim di Kaherah yang dididik dengan asuhan agama yang mantap sejak kecil.
Mereka mengadakan beberapa siri dialog yang membeliakkan mata hati ramai orang berkenaan kejernihan dan keadilan Islam yang selama ini disalah fahami.

Soalan Paderi: Islam agama poligami?

Dalam dialog kelima, Paderi Z bertanya Muhammad Mukhtar, 
“Mengapa anda berpendapat Islam berlaku adil kepada wanita, bukan menghinakannya? Padahal Islam membenarkan poligami, sedangkan poligami ini besar bahayanya kepada mereka dan mencipta pertengkaran dalam kehidupan suami isteri. Padahal kehidupan suami isteri perlu dijalankan dengan kerjasama secara ikhlas. Keikhlasan pula terbina dalam kerjasama di dalam rumah, kekayaan ataupun anak-anak.” 

Jawapan untuk Paderi

•Islam membela wanita dengan mengehadkan poligami
Anda terlalu ekstrim meletakkan Islam agama poligami. Seolah-olah Islam memulakan poligami. Seolah-olah juga Islam membenarkan apa yang dilarang agama-agama sebelumnya seperti zina dan maksiat. Padahal Islamlah yang datang membela wanita dengan mengehadkan poligami tanpa batas kepada had maksimum empat orang sahaja. Islam pembela!

•Poligami hanyalah harus, bukan wajib ataupun sunnah
Islam meletakkan kebolehan poligami bukanlah sebagai sesuatu yang wajib ataupun sunnah, melainkan hanya ketetapan harus. Ketetapan harus dalam poligami adalah hukum yang sungguh terpuji, kerana sesuai dengan sifat Islam sebagai agama universal, yang berlaku untuk segala masa dan tempat serta segala jenis bangsa. Hukum harus tidaklah sama dengan empat ketentuan hukum yang lain iaitu wajib, sunnah, makruh dan haram.

•Hukum yang elastik
Dengan demikian, harus boleh diterapkan pada kebanyakan hukum, sehingga pihak pemerintah dapat melakukan perubahan atau menggantikannya sesuai dengan tuntutan situasi dan keadaan. Poligami dalam Islam termasuk hukum yang elastik, sehingga hukum poligami berlaku menurut tuntutan keperluan. Sekiranya ternyata dalam sesuatu masyarakat itu, poligami menimbulkan hal-hal yang merosakkan, pemerintah berhak mengadakan larangannya.

•Mengapa Islam tidak mengharamkannya secara mutlak?
Sekiranya Islam melarang poligami secara mutlak, nescayalah manusia akan mengalami kesukaran sepanjang zaman. Misalnya keadaan sesudah perang yang pada umumnya jumlah wanita lebih ramai daripada lelaki, dan umat tersebut amat memerlukan pertambahan penduduk selepas perang bagi menggantikan mereka yang mati sebagai korban perang. Keadaan seperti itu memerlukan sistem poligami, jerana poligami adalah cara terbaik bagi mengelakkan penzinaan. 
Walaupun dalam sistem poligami itu terdapat hal-hal yang negatif, sebenarnya keburukan itu terdapat pada perlaksanaan bukan pada hakikat keharusan poligami itu sendiri. Namun dalam keadaan tertentu, keburukannya jauh lebih kecil berbanding penzinaan. Penzinaan selamanya berbahaya dan menimbulkan kerugian besar, baik terhadap kesihatan tubuh, keluarga dan lingkungan kehidupan umat. Ia juga membuat yang terlibat menjadi tidak produktif apabila membiarkan diri dikuasai oleh dorongan seksual kebinatangan.

•Bagaimana Islam Menyelesaikan Penyalahgunaan Poligami?
Islam tidaklah melupakan adanya bahaya poligami kerana penyalahgunaan. Kerana itu Islam menetapkan syarat-syarat yang ketat, iaitu poligami hanya dibenarkan untuk orang yang yakin mampu berlaku adil sesama isterinya, agar kehidupan rumahtangganya terjaga dengan baik, penuh rasa ikhlas, penuh keterbukaan dan kejujuran antara isteri dan suami, antara anak-anak, ayah dan ibu-ibu mereka.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa’, ayat 3, maksudnya, 
Dan jika kamu takut tidak akan berlaku adil terhadap (hak-hak) perempuan yang yatim (bila mana kamu mengahwininya), maka kahwinilah wanita-wanita yang kamu senangi, dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kahwinilah) seorang sahaja, atau (kahwinilah) hamba-hamba yang kamu miliki. Yang demikian itu lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya.

•Poligami, satu keringanan (rukhsah) yang amat ketat syaratnya 
Firman Allah SWT lagi dalam surah yang sama, ayat 129, maksudnya,
Dan kamu sekali-kali tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri(mu), walaupun kamu sangat ingin berbuat demikian, kerana itu janganlah kamu cenderung (kepada yang kamu cintai), sehingga kamu biarkan yang lain terkontang-kanting. Dan jika kamu mengadakan perbaikan dan memelihara diri (dari kecurangan), maka Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Ayat ini menjelaskan, sikap adil yang menjadi syarat keharusan berpoligami adalah tidak dapat dipenuhi secara mutlak. Kerana itu, seseorang yang mahu lebih selamat kepentingan agamanya, hendaklah ia bermonogomi (berkahwin satu sahaja). Ini bererti poligami pada asasnya dipandang makruh, kerana keharusan ini tidaklah begitu sahaja dapat dilaksanakan dan tidak terlepas daripada sifat makruh, tanpa ada keperluan yang mendesak.

•Keharusan yang makruh
Poligami yang keharusannya bersyarat bukanlah timbul kerana serangan-serangan terhadap hukum poligami pada zaman ini, akan tetapi seorang alim besar bernama Syihabuddin Ahmad bin Muhammad bin Ali Rabi’ dalam bukunya Sulukul malik fi tadbiril mamalik, menjelaskan kepada para suami untuk memenuhi enam tugas kepada isteri dan tugas kelimanya adalah sebaik-baiknya bermonogami (berkahwin satu) selagi mana memenuhi kecukupannya. Sebabnya, monogami lebih mampu menegakkan ketertiban rumahtangga. Hal ini dengan jelas menunjukkan bahawa beliau beranggapan berpoligami itu makruh seperti pendapat saya. Cuma, beliau ini berbeza dengan majoriti ulama yang meletakkan hukum asal poligami sebagai harus, tetapi beliau meletakkan hukum asalnya sebagai tidak harus atau haram.

Soalan Paderi: Mengapa Ramai Muslim Masih Berzina?

Sekiranya benar katamu poligami adalah cara terbaik mengelakkan penzinaan, tetapi mengapa dalam masyarakat Islam masih berlaku penzinaan? Ia sama sahaja seperti masyarakat Kristian yang mengharamkannya.

Jawapan untuk Paderi

•Poligami bukan satu-satunya cara mengatasi penzinaan
Saya mengatakan bahawa poligami hanya antara cara, bukannya satu-satunya cara bagi mengatasi penzinaan. Apabila membicarakan soal pembanterasan zina iaitu penghapusan zina secara total, maka poligami semata-mata tidak cukup membanteras penyakit sosial ini. Tetapi ia memerlukan cara yang lain juga iaitu hukuman yang berat ke atas penzina. Semua cara-cara ini bagi mengurangkan penyakit-penyakit sosial yang menimpa kehidupan masyarakat. Menghilangkannya secara total adalah mustahil. 

•Ia mengurangkan bukan menghapuskan penzinaan 
Satu kenyataan yang tidak dapat diragukan, secara perbandingan, penzinaan yang berlaku di negara Islam lebih sedikit daripada penularan zina di negara bukan Islam. Terutamanya apabila hukum-hukum Islam dapat ditegakkan di sesebuah negara itu, dan bukannya terbelenggu di bawah hukum penjajah. Penjajahlah yang memaksa penzinaan dan minuman keras di negara-negara Islam dan hal ini sedia dimaklumi oleh dunia.

Soalan Paderi: Jika poligami itu makruh mengapa Rasulullah berpoligami?

Wahai anak muda, sekiranya anda beranggapan poligami pada dasarnya makruh (dibenci Allah), tetapi mengapa Rasulullah mempraktikkannya? 
Mengapa Baginda berpoligami lebih daripada apa yang diharuskan untuk umatnya? Beliau mengehadkan orang lain beristeri tidak lebih daripada empat orang tetapi beliau beristerikan sembilan orang wanita dalam satu masa.

Jawapan untuk Paderi

•Hukum poligami turun selepas Rasulullah melakukannya
Perlu diketahui bahawa ketentuan berpoligami turun pada akhir tahun ke-8 hijrah. Padahal Nabi berpoligami dengan sejumlah isteri sebelum tahun itu. Isteri beliau yang terakhir adalah Maimunah puteri al-Harits al-Halaliyah, janda daripada bapa saudara beliau iaitu Hamzah bin Abdul Mutalib, syuhada Uhud. Beliau juga adalah bapa saudara Abdullah bin Abbas. Perkahwinan ini berlangsung ketika beliau melakukan Umratul Qadha, tahun ke-7 Hijrah. Nabi tidak mencampuri isterinya ini kecuali selepas keluar dari Makkah iaitu di Kampung Sarif. 
Tatkala hukum poligami ini turun dan dilarang berpoligami lebih daripada empat isteri, maka Nabi pun dilarang bagi berkahwin lagi lebih daripada jumlah isteri beliau yang sudah ada. Berkenaan dengan perkara ini, Allah menurunkan firman-Nya dalam surah al-Ahzab, ayat 52 yang bermaksud,
Tidak halal bagimu mengahwini wanita-wanita sesudah itu dan tidak boleh (pula) menggantikan mereka dengan isteri-isteri (yang lain), meskipun kecantikannya menarik hatimu kecuali wanita-wanita (hamba sahaya) yang kamu miliki. Dan adalah Allah maha mengawasi segala sesuatu. 

•Kemaslahatan untuk isteri-isteri Rasulullah, bukan untuk kepentingan baginda
Allah cuma membolehkan Rasulullah meneruskan poligaminya dengan sembilan isterinya, sedangkan orang lain Allah menyuruh menceraikan isterinya apabila berjumlah lebih daripada empat orang. Ia bagi kemaslahatan isteri-isteri Rasulullah kerana mereka tentu tidak reda menerima orang lain sebagai pengganti. Kedudukan orang lain sudah tentu tidak sama seperti kedudukan Rasulullah.
Maka jelas, pengecualian dalam kemaslahatan itu bukannya untuk kepentingan Rasulullah, tetapi untuk kepentingan isteri-isterinya. Sebab itulah isteri-isteri Nabi tidak dihalalkan diambil oleh orang lain sepeninggalan Rasulullah sehingga mereka tetap menyandang pangkat, ibu orang beriman. Jadi baginda tidak dibenarkan menceraikan seorang pun daripadanya, adalah untuk kemaslahatan mereka.




Ya,Allah jauhkan aku daripada orang fasik
Tetapkan hatiku untuk sentiasa istiqamah dalam mencintai-Mu
Kepada-Mu ku berserah kerana Kau perancang terbaik buat diriku
Jodohku, rezekiku dan amalanku
Semoga aku sentiasa dalam rahmat-Mu
Amin.....






Sumber:http://sebarkanbahagia.blogspot.com

commentbox

Powered by ShoutJax

Sekadar Renungan

Sesungguhnya pada kejadian langit & bumi pada pertukaran malam & siang ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan & keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. Iaitu bagi orang-orang yang mengingati semasa mereka berdiri & duduk & semasa mereka berbaring mengiring. Mereka memikirkan kejadian langit & bumi sambil berkata " Wahai tuhan kami! Tidakkah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia. Maha suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka. Wahai Tuhan Kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya & orang-orang yang zalim itu tidak akan beroleh penolong pun. Wahai Tuhan Kami! Sesungguhnya kami telah mendengar segala penyeru (rasul) yang menyeru kepada iman. Katanya Berimanlah kamu pada tuhan kmu maka kami pun beriman. Wahai Tuhan Kami! ampunkanlah dosa-dosa kami & hapuskanlah daripada kami kesalahan kami & matikanlah kami bersama-sama orang-orang yang berbakti. Wahai Tuhan Kami! Berikanlah kepada kami pahala yang Engkau janjikan kepada kami melalui rasul-rasulMu & janganlah Engkau hina kami pada akhirat nanti. Sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji". (Surah Ali-Imran ayat 190-194).
 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Macys Printable Coupons