Saturday, April 3, 2010

Tokoh Penentang Penjajah Tanah Melayu

    Tok Gajah
    Nama sebenar Tok Gajah ialah Imam Rasu bin Shahrum dan ayah kepada Mat Kilau iaitu pahlawan melayu Pahang. Tok Gajah merupakan Orang Besar Raja Pahang dengan gelaran iaitu Orang Kaya Indera Gajah Pahang. Beliau juga merupakan penasihat utama  kepada  Sultan Ahmad Muazzam Shah iaitu Sultan Pahang segala hal yang berkaitan dengan Hulu Pahang, iaitu kawasan-kawasan di hilir sungai dari Pulau Tawar. Beliau merupakan Orang Kaya Raja yang berkuasa dari kawasan Batu Redap sampai ke Kuala piul, kawasan dari Tanjung Sakti sampai ke Kangsa, kawasan dari Pedah hingga ke Tanjung Lindung dan juga Lembahan Sungai Budu di Lipis. Kedudukan beliau setaraf dengan Orang Besar Empat di Pahang.
    Pada tahun 1891 hingga tahun 1895 telah berlaku pemberontakan Pahang terhadap pemerintah negerinya. Tok Gajah merupakan tokoh yang terlibat bersama dengan Datuk Bahaman, Mat Kilau dan Datuk Lela menentang penjajah Inggeris. Beliau bertindak menghalau penjajah Inggeris dengan segala tipu helahnya yang hendak merampas pemerintahan negeri Pahang. Beliau mempunyai semangat perjuangan yang gigih serta sanggup berdepan dengan askar-askar Inggeris yang lengkap bersenjata. Beliau juga bersama dengan Wan Lingga telah diarahkan oleh Bendahara Wan Ahmad untuk menyerang Maharaja Perba dan Orang Kaya Setia Lela. Ini adalah disebabkan perselisahan faham antara Maharaja Perba dengan Bendahara. Beliau pernah diutuskan ke Singapura bagi mendapatkan khidmat peguam sebagai penasihat Sultan Ahmad. Beliau juga menjadi ketua pasukan perang Sultan Ahmad dalam menentang penjajah Inggeris.
    Golongan ketiga di negeri Pahang yang menjadi pemilik tanah yang penting dan berkuasa di kawasan-kawasan tertentu dikenali sebagai Orang Besar Raja. Golongan ini juga merupakan orang kesayangan istana tetapi bukan berketurunan bangsawan dan dinaikkan pangkat berdasarkan kepada kecekapan serta kemahirannya dalam bidang ketenteraan. Tok Gajah dan Tuan Sheikh Kechil merupakan dua orang tokoh yang terpilih mengikut kategori tersebut. Tok Gajah mempunyai pengaruh yang luas dan sangat dihormati serta ditakuti oleh orang-orang Inggeris.
    Pada tahun 1892, pihak Inggeris mengeluarkan perintah tangkap ke atas Tok Gajah lalu memaksa beliau menyelamatkan diri ke Ulu Kelantan dan Kemudian ke Hulu Terengganu sebelum meninggal dunia pada tahun 1901. Kubur Tok Gajah terletak di Kampung Pasir Nering, Kuala Berang, Hulu Terengganu, Terengganu Darul Aman.


      Mat Kilau
    Nama penuh Mat Kilau ialah Mat Kilau bin Imam Rasu. Nama ibu beliau ialah Mahda iaitu anak kepada Tok Kaut Burau. Beliau merupakan anak kepada pejuang penjajah British iaitu Tok Gajah.Mat Kilau dipercayai lahir dalam tahun 1865 atau 1866 di Kampung Masjid, Pulau Tawar, Jerantut, Pahang. Mat Kilau pandai mengaji, berzanji dan berdikir maulud serta belajar berdikir rebana yang dikenali sebagai ‘Dikir Pahang’. Hobi Mat Kilau adalah bermain gasing dan berlaga buah keras sehingga sentiasa menjadi juara di kampung beliau.
    Apabila berusia lebih kurang 20 tahun, Mat Kilau berkahwin dengan seorang gadis yang bernama Yang Chik binti Imam Daud yang berasal dari Kampung Kedondong. Hasil perkahwinan beliau Mat Kilau telah dikurniakan tiga cahaya mata anak. Setelah berkahwin barulah Mat Kilau belajar silat dan menuntut ilmu kebatinan. Mat Kilau bukan sahaja belajar silat sebagaimana sahabatnya yang lain, bahkan beliau lebih mendalami silat dengan menggunakan senjata seperti keris dan parang. Mat Kilau juga banyak menuntut ilmu daripada ayahnya sendiri iaitu Tok Gajah. Ilmu kebatinan secara agama banyak dituntutnya daripada Haji Botok yang dikenali juga sebagai AL-Allamah Haji Botok bin Osman sebelum Haji Botok berpindah dari Kelantan ke Pahang sebagai Mufti.
       Mat Kilau mempunyai sifat-sifat seorang pemimpin dan pemikiran yang matang telah menjadikan beliau seorang pemuda yang sangat disegani dan dihormati. Pada bulan Oktober,1888 semasa Tok Gajah berada di Pekan, Hugh Clifford telah datang ke Pulau Tawar dan berunding dengan Mat Kilau. Keadaan ini menunjukkan bahawa Clifford mempercayai idea-idea Mat Kilau. Beliau suka bergaul dengan setiap lapisan masyarakat dan ini membuatkan beliau menjadi seorang yang luas pandangan dan mendapat kepercayaan penuh dari masyarakat. Mat Kilau adalah seorang yang jujur dan tegas, justeru itu dia sangat disegani dan amat dikasihi oleh pengikut-pengikutnya. Pengikutnya terlalu ramai. Tetapi yang diketahui namanya ialah Awang Nong,Teh Ibrahim, Mat Kelubi, Mat Ali(khatib), Awang(Imam) dan Mat Tahir. Mereka ini sanggup sehidup semati dengan Mat Kilau.
    Khabar yang menyatakan Mat Kilau mati tersiar di dalam akhbar-akhbar Inggeris yang diterbitkan di Singapura. The Straits Times dan The Free Press menyatakan "Ketua Pendehaka, iaitu Dato Bahaman telah jatuh ke tangan pemerintahan Siam pada bulan Oktober,1895. The Free Press pula memberitahu bahawa Mat Kilau telah melawan apabila hendak ditawan dan akibatnya dia telah cedera di muka dan di kepalanya. Luka-luka itu sangat parah dan dia telah mati di dalam perjalanan ke hilir Kota Bharu disebabkan kehilangan banyak darah. Dengan tersiarnya berita kematian Mat Kilau oleh akhbar The Free Press keluaran 22 Oktober 1895, maka pada pendapat umum tamatlah sudah riwayat Mat Kilau. Akan tetapi apa yang sebenarnya berlaku tiada diketahui kecuali beberapa orang sahabatnya seperti Mustafa bin Awang Mat(Jusoh Rimau), Pendekar Tok Demali ,Raja Ibrahim(Pak Him), Mat Kelantan dan beberapa orang lain. Disebabkan Mat Kilau dicop sebagai 'penderhaka' oleh Inggeris,maka terpaksalah Mat Kilau mengasingkan diri dan berpindah dari satu tempat ke satu tempat dan akhirnya bermastautin di Batu 5,Jalan Kuantan-Gambang. Semenjak tahun 1930, Mat Kilau juga terpaksa menukar namanya buat beberapa kali dan akhirnya dia memakai nama Mat Siam.
    Dalam bulan Disember,1969, Tuhan telah menggerakkan hati Mat Kilau yang pada itu memegang kad pengenalan diri K/P 2044778 dan bernama Mohamad bin Ibrahim,memperkenalkan dirinya yang sebenar.Untuk mengelakkan dirinya dari menjadi tumpuan ramai,maka Mat Kilau telah bersetuju mengumumkan dirinya di kampung kelahirannya. Atas daya usaha Omar bin Mat Kilau,maka Mat Kilau dibawa ke Kampung asalnya iaitu Kampung Masjid,  Pulau Tawar. Jerantut. Pada hari Jumaat 26 Disember 1969, Mat Kilau telah pergi ke Masjid di Kampung Masjid untuk solat Jumaat. Selepas solat, Mat Kilau telah mebaca Quran dan kemudiannya mengistiharkan dirinya sebagai Mat Kilau. Pengisytiharan ini telah mengemparkan orang ramai sehingga Kerajaan Pahang menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyiasat. Jawatankuasa itu dibentuk pada 8 Januari 1970. Beberapa orang telah ditemuramah bagi membuktikan bahawa Mat Siam itu adalah Mat Kilau. Setelah disahkan maka pada pukul 10.30 pagi hari Khamis, 6 Ogos 1960. Mat Siam diisytiharkan sebagai Mat Kilau oleh Menteri Besar Pahang, YAB Tan Sri Haji Yahaya Mohd Seth. Setelah empat hari selepas pengumuman pengiktirafan terhadap dirinya dibuat, Mat Kilau meninggal dunia kerana keuzuran. Usianya ketika itu dipercayai berusia 122 tahun.

    Dol Said
    Nama sebenar Dol Said ialah Abdul Said. Beliau lahir pada tahun 1773 dan berasal dari suku Semelenggang. Dol Said dilantik menjadi Penghulu Naning menggantikan Penghulu Anjak pada tahun 1799 sewaktu beliau berumur 26 tahun. Dol Said merupakan pemerintah Naning yang ke-sembilan yang membantah berkenaan cukai ke atas daerahnya oleh pihak British. Beliau secara keras membangkang kemasukan tentera British di Naning dengan cara peperangan.
    Penghulu Dol Said telah berjaya mendapat sokongan orang Melayu seramai 1,000 orang untuk menentang British dalam Perang Naning yang bermula pada 6 Ogos 1831 dan berakhir pada 24 Ogos 1831 iaitu kira-kira 18 hari berperang. Dalam peperangan tersebut, Penghulu Dol Said telah mendapat kejayaan dan sebab utama kejayaan tersebut adalah kerana perpaduan yang wujud di kalangan orang Melayu serta sokongan orang Melayu di wilayah yang lain. Dol Said akhirnya terpaksa berundur ke Pasir Besar setelah kalah dalam perang Naning kedua pada Februari 1832 dan dalam masa 4 bulan akhirnya Naning jatuh ke tangan British pada 15 Jun 1832. Naning kemudiannya diletakkan di bawah peraturan Negeri-negeri Selat pada 27 Oktober 1832. Dol Said meninggal dunia pada pada tahun 1849 dan disemadikan di Tanah Perkuburan Taboh Naning.

        Rosli Dhobi
    Rosli Dhobi merupakan seorang pejuang kemerdekaan Sarawak daripada penjajahan British. Beliau lahir pada tahun 1932 di Kampung Pulo, Sibu, Sarawak. Ayahnya bernama Dhoni bin Buang dan beliau bereketurunan Melanau.
Rosli dikatakan penjuang kemerdekaan apabila berlakunya peristiwa beliau bersalah menikam sampai mati Gabenor British Sarawak yang kedua, Sir Duncan Stewart dengan menggunakan pisau beracun di Sibu pada 3 Disember 1949.Faktor yang menyebabkan beliau terpaksa mengakui tuduhan tersebut adalah atas permintaan ibu beliau kerana ibu beliau telah diugut akan ditembak. Selepas beberapa bulan dalam Penjara di Kuching. Rosli akhirnya maut di tali gantung pada 2 Mac 1950. Turut sama digantung adalah rakan seperjuangannya Morshidi Sidek, Awang Ramli Amit Awang Matsaruddin dan Bujang Suntong.Kematian mereka berempat telah menyebabkan gerakan penentangan anti-kolonialis di Sarawak berakhir secara mendadak.
    Mereka semua dikebumikan di situ juga, di Penjara Pusat Kuching, tanpa batu nisan di bawah tembok perkarangan penjara.Ini kerana Pihak British bimbang akan kebangkitan semula gerakan penentangan anti-Kolonial yang telah tamat secara mendadak selepas kematian mereka berempat.Setelah 46 tahun bersemadi di Tanah Perkuburan Penjara Kuching, Pada 2 Mac 1996, keempat-empat pejuang kemerdekaan ini dikebumikan semula dengan diberikan pengkebumian negeri di Makam Pahlawan Sarawak,berdekatan dengan Masjid Bahagian Sibu.Ketika itulah,Keempat-empat buah keranda yang mengandungi tinggalan jenazah mereka diselimuti dengan bendera negeri Sarawak sebagai menunaikan salah satu daripada wasiat Allahyarham Rosli Dhoby.

        Rentap
    Rentap merupakan seorang pahlawan Dayak berketurunaan.Rentap bermaksud penggoncang   dunia. Beliau merupakan salah seorang pemimpin penentang kepada pemerintahan  Raja Putih Brooke. Pada tahun 1853 Rentap telah mengetuai pasukan orang Iban yang menyerang pasukan British di Skrang yang diketuai oleh William Brereton. Rentap adalah seorang panglima perang orang Iban yang tinggal di ulu Sungai Skrang. Rentap yang menjadi ketua orang Iban telah menentang pemerintahan Brooke kerana Brooke telah merancang membanteras amalan kutipan cukai oleh ketua-ketua tempatan yang dianggap lanun olehnya, sedangkan ia merupakan sumber pendapatan tradisi ketua-ketua tempatan.
Brooke turut juga mengganggu cara hidup tradisional orang Iban yang mengamalkan kegiatan memotong kepala dengan beberapa pembaharuan. Justeru itu pada tahun 1853, Rentap bersama pasukannya menyerang kubu-kubu diSungai Skrang. Pihak British telah diserang hendap oleh orang-orang Rentap. Berlakulah pertempuran yang sengit di antara kedua-dua pihak. akibat pertempuran itu seorang menantu Rentap bernama Layang telah membunuh Alan Lee dengan lembingnya. Rentap dengan segera membawa pasukannya pulang ke ulu Sungai Sekrang.
Dalam pertempuran itu pihak British berundur ke pangkalan Merak dan ini menyebabkan Rentap semakin dihormati oleh pengikutnya. Walau bagaimanapun pengikut Brooke telah membinasa dan membakar 20 buah rumah panjang tempat kediaman Rentap. Dengan itu Rentap terpaksa berundur dan membina tempat kediaman diSungai Lang iaitu di ulu Sungai Skrang. Namun angkatan Brooke berjaya menyerang rumah panjang Rentap dan ia dengan sebilangan pengikut berundur dan membina kubu di sebuah bukit bernama Bukit Sadok. Mulai dari tahun 1875, kerajaan Brooke telah membuat tiga percubaan untuk menangkap Rentap. Namun pada tahun 1861 barulah mereka berjaya menguasai Bukit Sadok setelah membawa beberapa buah meriam.
Kubu-kubu dan rumah-rumah tempat kediaman Rentap dan orang-orangnya habis dibakar oleh kerajaan Brooke pada 20 oktober 1861. Rentap kemudian berundur ke Ulu Entabai. Kemudian Rentap dan pengikutnya berpindah ke Bukit Sibau iaitu kawasan yang terletak di Ulu Wak, Pakan. Beberapa tahun kemudian, Rentap meninggal dunia di situ. Sehingga ke hari ini makam pahlawan Rentap telah di baik pulih oleh kerajaan negeri Sarawak bagi mengenang jasanya.

  

commentbox

Powered by ShoutJax

Sekadar Renungan

Sesungguhnya pada kejadian langit & bumi pada pertukaran malam & siang ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan & keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. Iaitu bagi orang-orang yang mengingati semasa mereka berdiri & duduk & semasa mereka berbaring mengiring. Mereka memikirkan kejadian langit & bumi sambil berkata " Wahai tuhan kami! Tidakkah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia. Maha suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka. Wahai Tuhan Kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya & orang-orang yang zalim itu tidak akan beroleh penolong pun. Wahai Tuhan Kami! Sesungguhnya kami telah mendengar segala penyeru (rasul) yang menyeru kepada iman. Katanya Berimanlah kamu pada tuhan kmu maka kami pun beriman. Wahai Tuhan Kami! ampunkanlah dosa-dosa kami & hapuskanlah daripada kami kesalahan kami & matikanlah kami bersama-sama orang-orang yang berbakti. Wahai Tuhan Kami! Berikanlah kepada kami pahala yang Engkau janjikan kepada kami melalui rasul-rasulMu & janganlah Engkau hina kami pada akhirat nanti. Sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji". (Surah Ali-Imran ayat 190-194).
 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Macys Printable Coupons