Bila dengar lagu ini sedih je..Yela, rasanya dalam hidup ini banyak buat benda yang lagha.. Tidak penting pun..!! Kadang-kala menyesal pun ada.. Tapi bila baca entri dari Pendedahan konspirasi & penipuan lagi sedih.Huhuhu~....::: Meh baca sikit mana le tau korang dapat feel ape yang saya dapat=)
Tahukah anda apa itu "5S"? Barangkali sudah ada yang pernah tahu tentang ini. Dalam usaha menghancurkan dan melalaikan umat Islam, pelbagai rancangan dan strategi telah disusun oleh musuh Islam. Salah satu daripada rancangan itu ialah "5S". Kadang-kadang kedengaran khilaf (perselisihan) dalam perkara ini kerana ada pihak yang menyebut... "6S". Menurut pendapat yang rajih (kuat), kita bincangkan di sini "5S".
Apa itu "5S"? Seorang budak kecil yang matang mungkin akan menafsirkan "5S" sebagai Superman, Spiderman, Sin Chan, Sizuka dan Sailor Moon. Kenapa? Bagi peringkat budak kecil, perkara-perkara sebegitulah yang melalaikannya. Cuba kita lihat betapa ramai kanak-kanak yang lalai dengan itu semua? Fikirkan bagaimana nasib mereka apabila mereka dewasa nanti? Bagaimana dengan masa depan mereka?
Walaubagaimanapun, "5S" yang ingin saya utarakan pada kali ini merupakan ujian dan cabaran yang perlu kita hadapi supaya tidak terpengaruh dengannya secara umum tanpa mengira peringkat umur. Sama-samalah kita hayati erti sebenar "5S" ini.
1. SONG
S yang pertama ialah song atau lagu, muzik dan hiburan. Ini merupakan satu rancangan jahat yang cuba diatur oleh musuh Islam untuk melalaikan kita. Dalam Islam, hiburan bukanlah dilarang sepenuhnya, bahkan ia diakui oleh Nabi Muhammad sendiri. Sebagai manusia kita perlukan kepada hiburan untuk menenangkan diri. Pelbagai cara yang telah Islam aturkan sehinggalah dalam perkara muzik dan nyanyian sekalipun telah ada garis panduannya.
Secara umumnya, Islam membenarkan muzik dan nyanyian selagi ia tidak melalaikan dan membawa kepada dosa. Adapun hiburan yang membawa kepada mengingati Allah dan menyedarkan diri adalah sesuatu yang digalakkan dan boleh dijadikan sebagai ibadah. Ingat kepada Allah tidak tertakluk dengan berzikir semata-mata. Orang yang beriman sentiasa ingatkan Allah tidak kira di mana sahaja dan dalam apa keadaan sekalipun.
Tapi, lihatlah apa yang sudah terjadi pada umat Islam. Perkara yang pada asalnya halal boleh menjadi haram apabila ia sudah bercampur unsur lalai dan maksiat. Artis-artis muda atau tua yang ada pada hari ini sudah tidak menghiraukan lagi apa yang akan berlaku akibat daripada perbuatan mereka yang merosakkan masyarakat. Mereka sedikitpun tidak berasa bersalah, yang mereka fikirkan hanyalah pendapatan yang lumayan dan populariti yang mereka perolehi.
Usaha-usaha untuk menjadikan muzik sebagai kaedah untuk mengingati Allah juga sudah tercemar apabila niat mereka sudah terpesong. Nasyid yang berunsur jiwang keterlaluan juga mampu merosakkan anak muda. Hasilnya, ramai yang terpedaya dengan islamic couple. Dibuai kata-kata indah sebagai mengaburi dosa zina hati. Tidak kurang juga yang memang jelas ingin menunjuk-nunjuk suara melalui nasyid, kemudian beralih arah kepada rentak-rentak jahiliah. Na'uzubillah..
2. SPORT
Adakah Islam mengharamkan kita bersukan? Adakah bersukan sesuatu yang buruk? Tentulah tidak jawapannya. Jika dilihat kembali kepada sejarah, Islam sangat mementingkan kekuatan dan kesihatan umatnya. Saidina Umar sendiri berpesan kepada kita agar mengajar anak-anak kita berlatih menuggang kuda, memanah dan berenang. Allah juga lebih menyukai mukmin yang kuat berbanding mukmin yang lemah. Jadi jelas bahawa kita digalakkan untuk bersukan dan bersenam.
Mengenai cara bersukan, terserah pada individu. Mungkin secara langsung seperti bermain bola, ragbi, pingpong dan sebagainya, atau mungkin juga secara tidak langsung seperti berjalan dan naik tangga.
Apabila sukan sudah berubah matlamatnya, bukan untuk kesihatan sebaliknya untuk seronok dan gembira atau kebanggaan, maka bertukarlah sukan kepada perkara yang melalaikan dan membinasakan. Azan sudah tidak dihiraukan, aurat dibiarkan terdedah, rasuah mula merebak, pergaduhan mula tercetus dan hidup sudah tiada matlamat. Alangkah baiknya jika kita dapat menjadikan sukan sebagai ibadah yang dapat mendekatkan diri kita kepada Allah iaitu dengan menghargai dan mensyukuri nikmat kesihatan. Alangkah malangnya apabila sukan disalahguna dan membuatkan kita makin jauh daripada Allah.
Pernah saya ditanya satu soalan oleh seorang muslimah. Dia bertanya bagaimana sekiranya ada seorang perempuan menyertai pertandingan taekwondo yang mewajibkan kawasan kaki terdedah. Maka saya menjawab, sukan itu hanya sekadar untuk menyihatkan tubuh badan. Tidak salah menyertai pertandingan itu sekiranya ia bertepatan dengan syariat. Tetapi apabila syariat terpaksa diabaikan hanya semata-mata kerana pertandingan itu, maka lebih baik kita tinggalkan. Banyak lagi cara lain untuk bersukan. Bukankah lebih baik jika kita yang memahami sedikit sebanyak tentang Islam ini sendiri yang menganjurkan program sebegitu yang menepati syarak?
Saya sangat kagum dengan sikap sebahagian muslimah yang sanggup meninggalkan kerjaya dan pekerjaan yang hebat hanya semata-mata kerana ingin mempertahankan maruah, kehormatan dan aurat mereka. Mereka tidak dikaburkan dengan imbuhan duniawi yang bersifat sementara. Subhanallah..
3. STYLE
Semakin maju dunia hari ini, semakin banyak pula style dan fesyen yang muncul. Hampir setiap hari pasti akan muncul gaya dan rekaan pakaian terbaru terutamanya untuk kaum hawa. Islam tidak melarang kita berfesyen atau bergaya dan berpakaian cantik. Cuma kita perlu tahu tempatnya dan batasannya.
Bagi saya, cukuplah pakaian kita itu menutup aurat, kemas, bersih dan sopan. Jika mahukan lebih daripada itu, pastikan ia sesuai dengan kehendak syarak. Jangan sampai kita berlebih-lebihan dalam berfesyen sehingga terdedah aurat, membazir wang atau bertabarruj.
Jika kita tidak dapat memenuhi kehendak syarak, mungkin kita akan tertipu dengan misi menelanjangkan umat Islam sepertimana yang kita lihat melalui pertandingan ratu cantik dan memperkenalkan fesyen terkini yang berunsur jahiliah. Mungkin agak sukar jika musuh Islam ingin memberi arahan secara terus agar para muslimah menanggalkan pakaian mereka. Tetapi dengan menganjurkan pertandingan ratu cantik dan fesyen jahiliah, mereka mampu melondehkan satu-persatu pakaian muslimah kita dengan begitu mudah sekali. Ingatlah kaum hawa kesayanganku, kecantikanmu hanyalah untuk suamimu yang tercinta.
4. SEX
Ini juga merupakan salah satu cara dan taktik musuh-musuh Islam yang boleh dikatakan sebagai telah berjaya merosakkan ribuan dan mungkin juga jutaan umat Islam di seluruh dunia. Mereka memasukkan sedikit demi sedikit unsur-unsur seks yang tidak sepatutnya dalam produk-produk mereka seperti filem, internet dan iklan. Produk-produk ini disiarkan dan ditonton oleh umat Islam hampir setiap hari. Sehingga akhirnya umat Islam terbiasa dengan semua ini dan hilang sensitiviti apabila dihadapkan dengan unsur-unsur yang menyalahi syarak dan adab kesopanan yang diajarkan Islam.
Anak-anak muda pada zaman ini sudah pandai dalam perkara-perkara berkaitan seks. Sudah hilang rasa malu dan segan pada Allah dan masyarakat sekeliling. Bukan setakat remaja sekolah, budak-budak sekolah rendah pun sudah pandai melakukan aksi-aksi lucah sepertimana yang kita lihat dan baca di helaian-helaian akhbar.
Apakah erti semua ini? Orang yang sudah bergelar YB pun mudah tertipu dengan perkara ini. Dengan menukarkan istilah "pelacur" kepada "sedekah seks" mereka sudah jadi keliru dan sanggup menggadaikan maruah serta tanggungjawab mereka kepada masyarakat. Lihatlah betapa ketandusan dan kekeringan akhlak yang melanda umat Islam masa kini. Jika perkara ini berterusan, rosaklah generasi akan datang.
Anak-anak luar nikah yang tidak bersalah akan memenuhi bumi, anak-anak yang kecil ini dibuang dan dibiarkan oleh mereka yang tidak berhati perut. Ini semua angkara si jantan dan betina yang sudah jauh daripada petunjuk agama dan lalai dengan unsur seks yang disogokkan oleh musuh Islam.
Islam sudah menetapkan garis panduan kepada kita dalam perkara ini. Kehendak seks merupakan satu fitrah yang tidak dapat kita lari dan elakkan. Kita tidak perlu membuangnya sepertimana yang dilakukan oleh paderi-paderi Kristian. Islam tidak menyekat ini semua, Islam menganjurkan pernikahan yang sah agar dapat menjamin kebahagiaan dan kelahiran zuriat yang soleh solehah yang akan terus membangunkan umat ini.
Nabi sendiri menyeru kepada mereka yang mampu agar segera berkahwin, jika tidak mampu, bertahanlah dengan memperbanyakkan puasa dan menyibukkan diri dengan urusan-urusan kebaikan yang lain. Alangkah indahnya apabila Islam menjadi cara hidup dan penyelesai masalah kehidupan...
5. SMOKE
Terlalu banyak artikel yang dikeluarkan oleh pelbagai pihak mengenai perkara ini. Sudah jelas bahawa merokok bukanlah satu perkara yang baik sama ada dari segi kesihatan ataupun agama. Barangkali anda boleh lihat di sini, link. Mungkin sedikit kata-kata ini mencukupi buat kita;
Doktor kata, "Bahaya!"
Ustaz kata, "Haram!"
Polis kata, "Jangan!"
Pak Lah kata, "Saya pantang dicabar..."
Bagi sesiapa yang mempelajari agama, janganlah anda mencari dalil atau alasan untuk menghalalkan rokok. Sudah jelas dan qat'i tentang peranan rokok dalam membunuh jiwa manusia. Sesungguhnya melakukan 'helah' dalam agama dan perkara fiqh bukanlah sesuatu yang baik untuk diamalkan.
Bagaimana pula untuk menyelesaikan masalah ketagihan rokok ini? Bukankah Islam mampu menyelesaikan segalanya? Ya!! Setiap masalah ada penyelesaiannya dalam Islam. Berkaitan rokok, Islam terbuka dalam hal ini. Bergantung kepada individu untuk memilih kaedah yang terbaik agar dapat menghilangkan ketagihan rokok. Ada yang membanyakkan minum air suam, atau mengambil beberapa gelas Kopi Radix atau apa saja cara yang dikira sesuai dan bertepatan dengan Islam.
Sekian saja artikel kali ini, moga kita semua dapat menjaga diri kita daripada terpengaruh dan terpedaya dengan "5S" ini. Jika kita menjadikan Islam sebagai cara hidup, pasti semua masalah akan selesai. InsyaAllah...
...ISLAM PENYELESAI MASALAH UMAT...
Percayalah! Ape yang diperkatakan sememangnya betul.Tidak salah untuk kita berhibur dan bersuka ria tetapi mestilah ada batas-batasnya supaya kita kembali mengingat kepada Ilahi... Ingatlah hidup kita bermatlamat walaupun kita rasa tidak~
Apa kita mendengar lagu ini pula::
Rasa seram sejuk le pulak..Tapi itulah hakikatnya!! So, renung-renungkan dan selamat beramal=)
Sesungguhnya pada kejadian langit & bumi pada pertukaran malam & siang ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan & keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. Iaitu bagi orang-orang yang mengingati semasa mereka berdiri & duduk & semasa mereka berbaring mengiring. Mereka memikirkan kejadian langit & bumi sambil berkata " Wahai tuhan kami! Tidakkah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia. Maha suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka. Wahai Tuhan Kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya & orang-orang yang zalim itu tidak akan beroleh penolong pun. Wahai Tuhan Kami! Sesungguhnya kami telah mendengar segala penyeru (rasul) yang menyeru kepada iman. Katanya Berimanlah kamu pada tuhan kmu maka kami pun beriman. Wahai Tuhan Kami! ampunkanlah dosa-dosa kami & hapuskanlah daripada kami kesalahan kami & matikanlah kami bersama-sama orang-orang yang berbakti. Wahai Tuhan Kami! Berikanlah kepada kami pahala yang Engkau janjikan kepada kami melalui rasul-rasulMu & janganlah Engkau hina kami pada akhirat nanti. Sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji".
(Surah Ali-Imran ayat 190-194).
Im just common people and love to travel the whole world and sharing my feelings, opinions and my experiences. My passion are books and history. I like listening to general songs. Im proud to be muslim and pray to my brothers and sisters the whole world.
#SavePalestineSyriaRohingya